Isnin, 29 Jun 2009

SEHARI DI PERAIRAN PENYABUNG, MERSING
Seawal pukul 3.15 pagi aku dan Nizam bertolak dari rumahku ke rumah Ramli. Setibanya kami di rumah Ramli, kami disambut dengan senyuman oleh Ramli yang telah bersedia dengan peralatan memancing di hadapan rumah. Kami bertiga meneruskan perjalanan menuju ke rumah Salleh. Lebih kurang jam 4.15 pagi kami tiba di rumah Salleh. Salleh masih belum jaga dari tidur memaksa kami berusaha mengejutkannya dan menunggu agak lama di sana. Akhirnya Salleh bangun juga dari tidurnya dan kami berempat meneruskan perjalanan ke Mersing menaiki Mitsubishi Storm milik Salleh. Kami tiba di Mersing kira-kira jam 6.10 pagi. Setibanya di sana, kami menunaikan Solat Subuh, sarapan dan membeli beberapa jenis umpan di pasar. Dari Bandar Mersing kami ke lokasi untuk aktiviti memancing iaitu Penyabung. Dalam jam 8.20 pagi kami mulai menaiki bot yang dikendalikan oleh Pak Ya.
Nizam sedang merakamkan saat-saat matahari sedang terbit di Muara Sungai Mersing

Apabila mentari muncul lagi dengan sinarannya, seluruh isi alam mulai sibuk dengan urusan mencari rezeki.


Biar terik mentari membakar wajah hingga merah dan memeritkan, akan kutahan jua demi mempertahankan ekspresi jiwa ini. Aku rela tidak berbumbung.....


Kawan-kawan semua asyik dengan aktiviti masing-masing menanti saat umpan direnggut oleh ikan.
Setelah seharian kami berada di Perairan Penyabung, kira-kira jam 6.30 petang kami kembali ke daratan dengan hasil beberapa jenis ikan. Walaupun tiada ikan besar yang dapat kami pancing, namun kami tetap bersyukur dan berpuas hati dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada kami. Apa yang lebih penting kami dapat melaksanakan aktiviti yang menjadi kegemaran kami disamping dapat terus merapatkan hubungan ukhuwah antara kami.
Antara jenis ikan yang kami perolehi ialah beberapa jenis ikan kerapu, ikan duri, ikan kunyit, ikan gerung, ikan selar dan lain-lain ikan perairan batu karang.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan