Isnin, 29 Jun 2009

Mohd Basiran bin Md Jamil
SMK Munshi Sulaiman,
Km 6, Jalan Kluang,
83000 Batu Pahat, Johor.


1.0 Tajuk

Konflik Diri

2.0 Pendahuluan

Kebanyakan orang ingin merasai kehidupan yang sempurna. Kalau boleh semua kehendak dipenuhi, semua impian tercapai dan tidak mahu berada dalam kesusahan. Dalam situasi ini, kecenderungan untuk menjadi seperti orang lain menyebabkan konflik diri timbul kerana setiap manusia memang tidak sama keupayaan dan pembawaan dirinya.

3.0 Latar Belakang Klien

Klien seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun berada dalam tingkatan 1F, iaitu kelas hujung. Beliau berketurunan Melayu merupakan anak bongsu daripada 8 beradik. Ayahnya sudah tua dan tidak bekerja sementara ibunya hanya surirumah yang menjual ais kerim di rumah kepada anak-anak jiran tetangga. Abang dan kakak beliau kebanyakannya telah berumah tangga dan tidak tinggal bersama ibu bapa. Hanya seorang kakak yang belum berkahwin tetapi bekerja di kedai farmasi di Perak. Punca kewangan keluarga amat terhad iaitu mengharapkan sumbangan daripada abang dan kakak yang masing-masing telah berkeluarga.

4.0 Pernyataan Masalah

Beliau menyatakan sepatutnya berada dalam kelas pertama kerana beliau merasakan dirinya boleh menguasai pelajaran yang diajar oleh guru. Kenyataan ini disuarakan berdasarkan rekod prestasi akademik semasa beliau berada di sekolah rendah yang konsisten dan lebih kurang sama dengan pelajar-pelajar kelas hadapan. Walaubagaimanapun nasib tidak menyebelahinya semasa UPSR beliau merasakan bagai ada suara-suara yang mengganggunya menyebabkan tumpuannya terganggu. Akibatnya apabila keputusan UPSR diumumkan, beliau mendapat keputusan yang mengecewakan.

Selain itu, di rumah klien merasa sunyi kerana tiada rakan sebaya dan adik beradik yang sebaya. Beliau juga tidak bebas keluar rumah kerana ibu bapanya sangat mengongkong pergerakan beliau di rumah. Kerja-kerja rumah terpaksa dibuatnya kerana ibu bapa sudah tua. Segala keinginannya tidak mendapat perhatian daripada ibu bapanya kerana kekurangan wang. Kalau adapun barang peribadi yang dipenuhi oleh ibu bapanya, pemberian itu sering menjadi ungkitan. Keadaan ini meletakkan klien dalam keadaan serba salah dan rasa tidak disayangi.

Di sekolah, klien sangat sensitif terhadap gurauan rakan sebaya. Ada ketikanya beliau menyatakan seperti mahu bunuh sahaja kesemua rakan-rakan yang suka mengusik beliau.

5.0 Pendekatan Penyelesaian

Pada pertemuan pertama, tumpuan sesi ialah untuk mengumpul maklumat berkaitan latar belakang masalah yang dihadapi oleh klien. Klien meluahkan perasaan dan pengalamannya dengan bantuan kaunselor.

Sesi kedua memberi fokus kepada aktiviti mengenal pasti masalah. Masalah yang dapat dikenal pasti ialah situasi yang berlaku dalam keluarga dan kegagalan untuk cemerlang dalam UPSR serta kedudukan dalam kelas hujung telah menyebabkan perasaan kecewa dan gangguan emosi. Akibatnya klien tertekan dan sering hilang kawalan diri.

Sesi seterusnya ialah menentukan matlamat dan membincangkan tindakan penyelesaian menggunakan pendekatan teori REBT.

6.0 Penentuan Matlamat

Matlamat sesi ialah supaya klien dapat mengatasi perasaan kecewa. Klien lebih menerima dirinya dan gembira berada dalam kelas sekarang serta dalam situasi keluarga sekarang.

7.0 Langkah Tindakan Penyelesaian

Beberapa langkah penyelesaian telah dilakukan sebagai pelan tindakan.

7.1 Klien diminta menukar sistem kepercayaan dirinya yang telah menghasilkan perasaan kecewa dengan memikirkan bahawa walaupun beliau berada dalam kelas hujung, itu bukan penentu kepada prestasi akademiknya. Klien juga menukar persepsi bahawa masalah keluarga bukan punca kegagalan, sebaliknya sebagai dorongan bahawa klien perlu mengubah nasib keluarganya.

7.2 Klien dicadangkan supaya mengisi borang permohonan biasiswa samada Biasiswa YPJ atau BKP sebagai alternatif kepada masalah kewangan.

8.0 Contoh Teori Pendekatan Penyelesaian

Pendekatan menggunakan Teori REBT:

A - Peristiwa (Berada dalam kelas hujung)

B - Sistem Kepercayaan (Bodoh)

C - Emosi Terhasil (Kecewa)

D - Cabaran/Hujah (Prestasi akademik bukan bergantung kepada kedudukan
kelas tetapi kepada usaha diri sendiri)

E - Emosi Normal (Yakin diri)



9.0 Penilaian Strategi

Kes ini Berjaya diselesaikan menggunakan pendekatan Teori REBT. Klien telah menunjukkan sikap yang lebih meyakinkan ketika berada dalam kelas dengan perlakuan yang lebih ceria dan suka bertanyakan soalan jika tidak faham ketika guru mengajar. Di rumah, isu yang sama masih berterusan namun klien menganggapnya itu sebagai baktinya kepada ibu bapa yang telah melahir dan membesarkannya. Kerja di rumah bukan lagi dianggap sebagai beban tatapi telah dianggap sebagai tanggungjawab. Klien juga telah Berjaya mendapat anugerah biasiswa BKP. Kejayaan yang lebih bermakna apabila berjaya menempatkan diri dalam kelas pertama (2A) pada tahun berikutnya.

Faktor penentu kepada kejayaan kes ini ialah kerjasama yang diberikan oleh klien sepanjang sesi berjalan. Seterusnya pendekatan REBT sangat sesuai dengan kes ini di mana sistem kepercayaan negatif menjadi punca perasaan kecewa telah dapat diatasi hanya dengan menukar sistem kepercayaan itu kepada yang lebih positif.

10.0 Kesimpulan

Klien lebih berkeyakinan dan ceria di sekolah dan di rumah setelah berjaya membina sistem kepercayaan positif dalam dirinya. Apa juga masalah yang dihadapi selepas ini dapat dihadapinya dengan jiwa yang lebih tenang. Sifat sensitif terhadap gurau senda rakan sebaya juga telah berkurangan dank lien lebih gembira bersama rakan-rakan baru di kelas hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan